Khairy Jamaluddin

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berdiam diri membiarkan sahaja parti-parti pembangkang menyebarkan propaganda mereka di bandar-bandar tanpa penjelasan daripada parti pemerintah.

Beliau berkata, ini kerana terdapat juga penduduk bandar yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi dan undi yang dibuat adalah berdasarkan isu-isu yang tersebar di bandar.

Katanya lagi, apabila pulang ke kampung penduduk-penduduk bandar mampu mempengaruhi pengundi di luar bandar, khususnya di kubu-kubu kuat UMNO dan BN.

“Walaupun dikuasai pembangkang, tidak ada sebab kita perlu mengabaikan kawasan-kawasan bandar. Jika tidak menang pun, setidak-tidaknya kita berusaha untuk melindungi kepentingan pengundi Melayu yang pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya semasa me­nyampaikan ucaptama perasmian Mesyuarat Berkelompok UMNO Cawangan-cawangan Bahagian Puchong dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman.

Khairy berkata, mengabaikan kawasan-kawasan bandar menjadi sebab mengapa BN tewas dari segi undi popular. Jelasnya, undi popular itu sangat dibanggakan oleh pembangkang meskipun tidak berjaya membentuk kerajaan pusat.

“Pembangkang menang dengan majoriti yang besar di bandar-bandar. Jika tidak ada pe­nerangan yang baik atau tidak menguasai perbincangan-perbincangan politik di bandar kita akan terus kalah dengan majoriti yang besar. Untuk kali ini kita mahu memastikan setidak-tidaknya majoriti itu dapat dikurangkan, bagi membolehkan undi popular ini kembali berpihak kepada BN,” kata beliau.

Beliau juga berkata, fokus terhadap kawasan bandar juga merupakan antara usaha BN untuk merampas kembali Selangor daripada penguasaan pembangkang dan pada masa sama untuk melindungi kepentingan orang-orang Melayu di bandar.