Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, biarpun semangat di peringkat akar umbi masih utuh, UMNO sukar untuk bangkit sekiranya ahli-ahli masih terikut-ikut dengan budaya lama.

Menurutnya, tiada erti kekalahan terhadap UMNO buat masa ini, sebaliknya parti terbesar orang Melayu itu hanya direhatkan seketika untuk mereka bermuhasabah.

“Pemerintahan selama 61 tahun berkemungkinan menyebabkan UMNO sedikit sebanyak lari daripada landasan perjuangan, justeru kekalahan pada PRU-14 lalu merupakan satu hikmah kepada kita.

“Namun, walaupun Tuhan tarik sedikit (kemenangan) daripada kita, tetapi hakikat paling besar Tuhan hendak pertontonkan kepada kita adalah apa yang akan berlaku apabila wadah UMNO ini kita korbankan.

“(Lihat) apa yang berlaku setahun selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, punah-ranah, haru-biru dan hancur berkecai daripada institusi agama sehinggalah kepada keadaan ekonomi.

“Jadi, kita yang menentukan sama ada UMNO mampu bangkit semula atau tidak. Sekiranya kita bersedia Insya-Allah kita akan bangkit tetapi kalau masih dengan budaya atau cara lama belum tentu UMNO boleh bangkit semula,” katanya ketika menyertai Program Santai Sahur Bersama Ketua Pemuda UMNO di Bandar Darulaman, di sini malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata, antara hikmah lain yang boleh dilihat terhadap kekalahan UMNO dalam PRU-14 adalah penyatuan dua parti besar yang mewakili Islam iaitu UMNO dan Pas yang kini sudah bekerjasama membentuk pembangkang yang kuat.

“Malah, UMNO dan Pas sudah bersedia menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang akan dilancarkan selepas perayaan Aidilfitri kelak dengan menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran antara kedua-dua parti itu.

“Kita di peringkat kepemimpinan sudah membuat satu ketetapan untuk tidak akan menoleh ke belakang lagi kerana apa yang dilakukan hari ini adalah harapan rakyat yang mahu dan ingin melihat UMNO dan Pas bersatu,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua parti itu perlu bersedia setiap masa kerana PRU-15 boleh dijalankan pada bila-bila masa dari sekarang dan tidak mustahil ia diadakan seawal tahun depan.

“Sekiranya Tun Dr. Mahathir Mohamad rasa dia tak boleh tahan dengan tekanan bakal Perdana Menteri, mungkin dia akan bubar awal, jadi adakah kita bersedia,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE