Pengerusinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program yang bermula hari ini hingga Disember tersebut akan berlangsung di 60 buah lokasi bermula di Pahang dan berakhir di Selangor.

Katanya, program tersebut adalah lanjutan daripada sambutan baik siri pertama yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum ini yang melibatkan 22 lokasi pada Mei lalu.

“Program ziarah ke rumah-rumah untuk menyampaikan sumbangan akan dibuat bersama dengan pemimpin UMNO di bahagian akar umbi kerana mereka lebih mengetahui golongan sasaran di sesebuah kawasan tersebut.

“Selain menyampaikan sumbangan kepada golo­ngan yang memerlukan seperti golongan miskin, ibu tunggal dan pelajar sekolah, kami juga mempunyai pasukan perubatan yang turut sama melawat mereka yang sakit.

“Lawatan ke rumah orang-orang yang sakit ini akan dike­tuai oleh Pergerakan Wanita UMNO dan mereka yang sakit bukan sahaja diberi ubat serta penerangan malah rawatan susulan turut diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran UMNO Bantu Rakyat 2.0 yang mula bergerak ke lokasi pertama iaitu Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, peruntukan sumbangan yang akan diagih­kan bagi setiap lokasi adalah antara RM150,000 hingga RM200,000 bergantung kepada sesebuah lokasi tersebut.

Beliau berkata, pengisian program di kawasan pelancaran termasuklah membuka kaunter Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), membuka klinik pasukan perubatan BiKUM serta klinik motosikal percuma yang diterajui oleh Pemuda UMNO dan baik pulih serta hias rumah oleh Puteri UMNO.

“Klinik motosikal serta membaiki peralatan elektrik secara percuma akan dibuat dengan kerjasama GiatMara yang mana pelajar-pelajar institusi terbabit akan melakukan kerja membaiki,” ujarnya.