FIKRAH PRESIDEN DAN REALITI SEMASA

Saya penuh sedar dan insaf kerana dalam sejarah UMNO, sayalah Presiden yang pertama menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Sejak PRU pertama hingga ke-14, inilah kali pertama kita bukan lagi menjadi sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan hanya menguasai dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Bagaimanapun, kita juga hampir menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Sabah. Tahniah kepada Perlis dan Pahang!

Jika ada wakil rakyat UMNO yang sukar hendak menyesuaikan diri sebagai pembangkang, terutama kepada mereka yang kali pertama menjadi wakil rakyat dan memulakan kerjaya politik sebagai pembangkang, bersabarlah. Inilah takdir-Nya.

Justeru, UMNO memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU-14 yang lalu. UMNO mengambil pengajaran dan beriltizam untuk mengembalikan semula keyakinan dan menjadikan harapan ini suatu kenyataan. Insya-Allah.

Selepas keputusan yang mengejutkan pada PRU-14 yang lalu, ada segelintir di antara kita meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan, namun ahli UMNO tetap bijak menilai hati budi mereka. Mereka ini bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak kurang pula yang mula condong dan mahu beralih arah. Namun, masih ramai lagi yang kekal setia, berdiri teguh dan gagah menjulang obor perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air kita!

KEMAJMUKAN UMNO

UMNO adalah sebuah parti Rumpun Melayu. Walaupun begitu, di dalamnya terdapat pelbagai kaum dan etnik. Dalam kalangan ahlinya pula, majoritinya beragama Islam, dan ada juga yang beragama Kristian dan Buddha. Parti ini diwarnai pelbagai latar belakang etnik yang menggambarkan kemajmukan UMNO itu sendiri.

Sehubungan itu, jika mahu menang semula, maka kita wajib menjalinkan silaturrahim dan keakraban antara kita, serta sifat membenci perlu diketepikan! Penyatuan mesti datang dari hati yang mukhilisin dan terbuka. Wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) mestilah selari dengan wehdatul amal (kesatuan tindakan).

UMNO tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan. Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu. Kebersamaan kita dalam Perikatan dahulu, dan kini dalam Barisan Nasional adalah suatu bukti bahawa kita menghargai peranan parti-parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum. Ini dilakukan demi kepentingan negara. Oleh yang demikian sifatnya, saya ingin tegaskan di hadapan saudara dan saudari sekalian, UMNO akan terus kekal menjadi parti orang melayu dan bumiputera!

Sesungguhnya, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang rasis, berat-sebelah dan prejudis, atau menjadi ancaman kepada mana-mana kaum lain. Orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum. Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa!

HALA TUJU UMNO

Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO. Diam itu emas, bertindak itu berlian! Begitu juga yang diungkapkan oleh seorang ahli falsafah China bernama Lao-Tzu. silence is a source of great strength!

Kita sudah tahu bahawa harta UMNO mahu disita, akaun UMNO telah dibekukan! Terdapat dalam kalangan kita yang ditekan dengan pelbagai siasatan, terdapat juga yang diheret ke mahkamah. Malah terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO!

Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan. Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan! Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu.

Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara. Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk menang dan kembali berkuasa. inilah hala tuju kita! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah.

Semestinyalah hala tuju ini perlu disokong oleh semua orang UMNO berpandukan kepada 7 teras yang perlu kita laksanakan bersama. Di sini, saya ingin menggariskan 7 teras tersebut yang merangkumi 21 langkah untuk membolehkan kita mencapai kejayaan.

MEMBINA KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN

Tugas penting kita sekarang adalah untuk membina keyakinan ahli dan masyarakat. Saya akui, ini bukanlah tugas mudah, ia memerlukan usaha-usaha yang berterusan.

Saya mengharapkan agar semua memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO. UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pilihan raya. Tetapi ia adalah sebuah manifestasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air. Perkara ini termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Maka, UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Melayu yang ideologinya berbentuk konservatif tetapi progresif.

Biarpun begitu, kita telah mempunyai ahli-ahli UMNO terdiri dari Kadazan, Dusun, Murut, Siam dan orang Islam serta mualaf dari pelbagai bangsa. Malah Parti KIMMA yang terdiri dari kalangan rakan-rakan India-Muslim turut menjadi ahli bersekutu UMNO sejak Ogos 2010 lagi. Kita juga meraikan ahli-ahli UMNO yang terdiri dari yang beragama Kristian, Buddha dan pelbagai agama lain. Ini harus dihormati.

Sekiranya prinsip ketaatan dan kesetiaan kepada parti serta pemimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan tidak mampu diterapkan, kita akan hancur! Justeru, saya meminta kepada semua ahli untuk setia kepada parti dan kepemimpinan. Sesungguhnya, inilah antara formula penting membentuk parti yang mantap. Ketaatan ini dituntut selagi mana ia tidak mudarat dan melanggar hukum syarak.

Sesungguhnya taat dan setia kepada kepemimpinan, dan bukannya kepada parti seringkali membentuk budaya „warlord. Inilah punca utama masalah politik wang. Sebagai Presiden, saya komited menjadikan UMNO sebagai sebuah Parti Sifar Rasuah! Politik wang boleh menghancurkan parti. politik wang juga akan menyebabkan ahli salah memilih pemimpin. politik wang juga meracuni kita menjadi individu yang gemarkan rasuah dan habuan (ghanimah).

Sehubungan itu, kita akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas. Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan. Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu.

Saya telah berbincang dengan semua pemimpin tertinggi parti supaya mereka turun ke akar umbi. Bertemu dengan seramai mungkin ahli bagi memperjelaskan hala tuju dan idealisme perjuangan parti. Kita akan meletakkan KPI (penanda aras) kepada setiap program yang dijalankan. Ia sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan dan akan diolah dari semasa ke semasa. Ini dilakukan melalui pendekatan „low cost, high impact! Kos yang rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi.

Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat UMNO melompat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, kita telah pun mengambil langkah drastik melalui tindakan undang-undang!

Saya ingin menyatakan bahawa writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. Mereka tidak lagi mempunyai asas moral untuk menjadi wakil rakyat, kerusi itu milik UMNO! kerusi itu milik penyokong barisan nasional!

Saya juga telah berbincang dan bersetuju, semua wakil rakyat UMNO sekarang diminta menandatangani akujanji. jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas atau pun menyertai parti lain, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik! kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi!

menentang eksploitasi politik

Kita sekarang diperintah oleh sebuah kerajaan baharu. saya ingin bertanya, adakah kita berpuas hati dengan pemerintahan mereka? adakah rakyat puas hati dengan hasil undi mereka?

Pelanggaran dan pencabulan kepada prinsip Rule of Law ini, menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi. Hari ini, negara semakin berundur. Wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik. Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, „Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan. malahan tidak dapat tanduk, telinga pula dipulas!

Mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri. Kita mendesak kerajaan hari ini menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law! Berhentilah dari melakukan gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media sosial!

REGIME CHANGE

Perubahan politik yang terjadi hari ini bukanlah sekadar peralihan kepada kepimpinan yang baharu, malah ia merupakan pertukaran keseluruhan jentera kerajaan. Inilah yang dipanggil „regime change. Adakah kita mengizinkan kakitangan kerajaan yang cemerlang dan pegawai-pegawai kanan glc dibuang demi memuaskan sang penguasa?

Harus diingat, situasi hari ini memungkinkan wujudnya situasi ‘hung parliament’ atau ‘parlimen tergantung’, di mana kerajaan itu boleh bertukar pada bila-bila masa. Pergolakan dan permasalahan dalaman boleh memusnahkan pakatan atau gabungan dalam sekelip mata. Kerajaan hari ini merupakan pakatan yang amat rapuh dan tidak stabil. Mereka menang tetapi tidak banyak, sementara yang kalah pula sekadar kurang sedikit. Keadaan tidak seimbang ini menyebabkan kedudukan kerajaan begitu rapuh dan boleh terbubar pada bila-bila masa! Dalam keadaan itu, mereka akan mencari siapa? di sinilah letaknya nilai harga ahli-ahli umno! maka, janganlah memandai-mandai cabut!

Saya ingin menekankan, janganlah disebabkan kerapuhan itu mengorbankan 3 asas keutuhan negara iaitu keamanan, kesejahteraan rakyat dan hubungan diplomatik. Janganlah bergaduh dengan semua orang. Bermusuh dengan jiran tetangga. Jangan sampai kita tidak ada negara rakan. Sikap „antagonis ini akan menyebabkan Malaysia bukan sahaja dipinggirkan di peringkat antarabangsa, malah usaha menarik pelaburan asing (Foreign Direct Investment) juga akan terbantut. Jika ini berlaku, maka kita akan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan, apalagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Saya bimbang, kesan domino dan dasar populis yang diamalkan kerajaan hari ini, akan menjadi suatu „perfect storm atau kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran negara. Ketika perut rakyat tidak ditangani dengan baik akibat tiada peluang pekerjaan, ia pasti akan mengundang malapetaka!

Oleh itu, saya menyeru kepada barisan Jemaah Menteri kerajaan hari ini. Janganlah dikira berapa banyak ikan di laut. Usahlah mengajak rakyat menanam nanas di atas air, di belakang rumah. Kiralah tiap-tiap titik perpuluhan bila bercakap soal ekonomi. Jangan asyik tersalah letak titik. bahaya tu! Dahulu janji menyediakan sejuta peluang pekerjaan, tiba-tiba anak muda pula yang diminta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Anak-anak yang suci bersih berkasut putih, diarah tukar berkasut hitam. Kasihanilah graduan-graduan kita yang ditipu dengan tindakan U-turn daripada janji manis untuk menghapuskan bayaran balik pinjaman

Memperkasa parti

Untuk memperkasakan parti, hadamlah perkara-perkara berikut:

Kerajaan telah memutuskan had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Ini akan memberi kesan besar ke atas pola politik tanah air. Kita juga perlu melakukan usaha ke arah peremajaan parti. Bagi mewujudkan kesedaran politik pada peringkat lebih awal, maka adalah dicadangkan had umur keahlian parti diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun.

Had penggal Presiden. Bagi memastikan keutuhan parti selaras dengan manifesto saya, ketika pemilihan Presiden dan kepimpinan parti, saya mencadangkan kepada sidang hadirin sekalian agar penggal Presiden dihadkan kepada 2 penggal sahaja. Berbincang dan berbahaslah dalam soal ini, demi kepentingan dan survival parti kita.

MUAFAKAT POLITIK

Hari ini, UMNO menjadi pembangkang. Inilah realitinya. UMNO tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional.

Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.

Kerana itu kita yakin bahawa parti-parti berasaskan kaum, bangsa atau etnik bukanlah suatu perkara buruk atau terkebelakang. Dalam sejarah UMNO selama 72 tahun serta sejarah Perikatan dan Barisan Nasional, tidak pernah terjadi negeri-negeri tidak boleh meneruskan mesyuarat agung tahunan, seperti yang berlaku dalam sebuah parti. Temasya baling kerusi dan pukul memukul seolah-olah menjadi sebahagian daripada agenda mesyuarat mereka. Ini bukan amalan kita selama ini!

Demi kepentingan rakyat, pintu UMNO sentiasa terbuka untuk jalinan kerjasama dengan sebarang parti politik, asalkan prinsip UMNO tidak tergadai atas jalinan politik itu nanti. kita tidak rela umno dibubarkan!

Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya telah mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat. suka saya mengumumkan, barisan nasional akan dijenamakan semula sebaik sahaja perundingan dengan rakan-rakan komponen yang sedia ada selesai dan dimuktamadkan! Cadangannya, parti gabungan ini bakal dianggotai dengan entiti-entiti berikut:

i. Parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS

ii. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama

iii. Parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong

iv. Badan Bukan Kerajaan (NGO)

v. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik

Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula Barisan Nasional!

KERAJAAN MENANTI

Biarpun tidak dapat membentuk kerajaan, UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14. Sebab itu nilai pemimpin UMNO yang menang pada pilihan raya umum lalu, adalah mahal harganya.

Dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar flip-flop telah membangkitkan kemarahan rakyat, saya percaya UMNO mempunyai harapan cerah untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat.

Saya telah mewujudkan 4 kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti. Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan „kabinet bayangan‟ dan ia adalah seperti berikut:

Kluster pertama: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan

Kluster kedua: Kewangan, Ekonomi dan Industri

Kluster ketiga: Pendidikan, Sosial dan Budaya

Kluster keempat: Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan

Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah kerajaan menanti atau government-in-waiting!

Dalam saat kesusahan dan kepayahan, jangan ada dalam kalangan kita mengambil kesempatan dalam kesempitan! Saya mengharapkan agar semua ahli dan saf kepimpinan merapatkan barisan dan tingkatkan kemuafakatan. Ayuh, junjunglah rakyat dan letakkanlah parti mengatasi segala-galanya! Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Teks penuh dalam Utusan Online