Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu memandangkan Gerakan kini bukan lagi sebahagian parti komponen Barisan Nasional (BN) berikutan bertindak keluar selepas pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, dengan pertambahan kerusi itu, UMNO akan bertanding sebanyak 21 kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang daripada keseluruhan 40 kerusi di negeri ini.

"Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih jauh, tetapi penyusunan gerak kerja dan hala tuju perlu dibuat dari sekarang sebab semangat ahli-ahli UMNO khususnya di negeri ini cukup tinggi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama ahli-ahli UMNO negeri ini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir di sini pagi tadi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Musa menyuarakan hasrat untuk megambil semula antara tiga hingga enam kerusi DUN yang mempunyai lebih 30 peratus pengundi Melayu untuk ditandingi calon UMNO pada PRU-15.

Menurut Musa, perkara itu berikutan calon Gerakan gagal memenangi kerusi itu dalam tiga pilihan raya umum terakhir selain parti tersebut kini juga bukan lagi sebahagian komponen BN.

Sementara itu, ditanya lanjut mengenai enam kerusi DUN tersebut, Zahid berkata, perinciannya akan dibuat UMNO negeri dan akan diumumkan apabila tiba masanya.

Tambahnya, baki daripada 13 kerusi yang sebelum ini ditandingi Gerakan juga akan diputuskan kelak berdasarkan kerjasama yang akan dibentuk BN menjelang PRU-15.

"Kawasan (DUN) mana akan diputuskan nanti, baki tujuh lagi kerusi kita akan runding sama ada untuk parti komponen atau parti-parti lain yang akan dijenamakan semula," katanya. - UTUSAN ONLINE