Beliau yang percaya UMNO akan terus wujud serta memainkan peranan besar terhadap negara, mahu parti itu tidak hanya memberi tumpuan terhadap usaha hendak menjadi kerajaan semula tetapi terus menjadi sebuah badan memperjuangkan orang Melayu dan pada masa sama tidak melupakan kaum lain.

Perhimpunan Agung UMNO pada hujung minggu ini juga, kata bekas Menteri Besar Johor itu, sudah pasti amat dinantikan banyak pihak kerana merupakan perhimpunan pertama parti itu selepas gagal membentuk kerajaan selain ramai yang tertanya-tanya mengenai masa depan serta hala tuju UMNO lebih-lebih lagi dalam keadaan beberapa pemimpin bertindak keluar parti.

Kepada Wartawan Utusan Malaysia, LUQMAN HAZIQ, NURUL HUDA HASSAN dan jurugambar RAJA JAAFAR ALI, Mohamed Khaled menzahirkan harapan beliau untuk melihat perwakilan UMNO dapat menunjukkan perpaduan sesama mereka selain memberi komitmen yang tinggi bersama-sama membawa perubahan dan berjuang untuk UMNO.
 


UTUSAN: Dalam keadaan UMNO tidak lagi menjadi kerajaan, ditambah pula dengan beberapa pemimpin yang bertindak keluar parti, bagaimana Datuk Seri melihat perjalanan parti terutama pada Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini?

MOHAMED KHALED:
Selagi ada orang yang hendak ambil tanggungjawab ke atas UMNO, yang nak pulih dan merawat UMNO, selagi itu UMNO akan wujud dan saya percaya ia akan menjadi pokok perbincangan dalam perhimpunan nanti. Saya percaya UMNO akan terus wujud dan akan memainkan peranan besar kerana parti ini terus menjadi wadah dan platform bagi orang Melayu menyuarakan perkara yang menyentuh kedudukan mereka.

Lebih-lebih lagi hari ini, saya percaya orang Melayu dalam keadaan tidak begitu selesa, bimbang dan mereka akan tercari-cari kepada siapa mahu di­luahkan semua itu, maka mereka akan nampak medium terbaik adalah UMNO. Dan UMNO perlu bersedia memainkan peranan itu dan UMNO jangan fikir sa­ngat soal hendak dapatkan kuasa atau cuba mencari mana-mana pihak untuk dapat berjaya membentuk kerajaan kerana bersandarkan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka memang menolak UMNO ke tepi. Jadi, kewujudan UMNO jangan tumpu kepada soal hendak jadi kerajaan tetapi terus menjadi sebagai satu badan yang memperjuangkan orang Melayu kerana saya percaya orang Me­wlayu akan mencari wadah ini.

Datuk Seri nampak yakin dengan perkara itu dan bersandarkan atas sebab apa?

Ini kerana setakat ini, Pakatan Harapan khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih tidak nampak memainkan peranan itu dan kita dapat melihat itu apabila mereka tidak melaksanakan manifesto, ia sudah menunjukkan mereka adalah sebuah parti yang tidak boleh dipercayai dan tidak tunaikan janji. Mereka awal-awal sudah angkat tangan tidak se­perti UMNO yang sentiasa menunaikan janji, malah mana-mana parti sekali pun kerana manusia dipegang pada janjinya.

Hingga hari ini juga, tiada lagi apa-apa dasar yang konkrit dalam soal hendak membangunkan orang Melayu tetapi yang ada hanya mereka cakap orang Melayu itu malas, tidak patut ditolong dan orang Melayu tidak mahu ber­usaha. Soalnya apa pun kita buat bukan 100 peratus boleh berjaya, kalau kita melabur untuk orang Melayu pun dalam 10 mungkin tiga atau empat berjaya dan ia perkara biasa. Pokoknya jangan putus asa membela dan memajukan orang Melayu.

Mungkin Datuk Seri ada nasihat kepada pemimpin UMNO, kenapa perlu mereka 'lari' sedangkan inilah masa untuk bersama-sama memperkukuhkan parti. Adakah mereka 'lari' ada kaitan dengan kerjasama UMNO dan Pas?

Setiap parti itu dan me­nga­pa kita menyertai serta menyokongnya sudah tentu berasaskan ideologi dan bagi UMNO ideologinya adalah untuk membela agama, bangsa dan negara dan itulah asas kenapa kita masuk dalam UMNO iaitu soal kedudukan serta kepentingan orang Melayu tapi pada masa sama kita juga berlaku adil kepada bukan Melayu. UMNO berpendapat masa untuk memba­ngunkan orang Melayu juga tidak bermakna kalau pada masa sama kaum lain tidak terbela.

Jadi, atas sebab itu UMNO mengambil pendekatan sederhana. Kepada mereka yang lari itu mungkin asas mereka tidak sebegitu kuat atau kukuh dan mungkin juga sebab-sebab yang hanya mereka tahu.

Pada masa sama, jika ada yang kata 'lari' sebab kerjasama UMNO dan Pas, saya ingat itu alasan sahaja. Kita harus faham UMNO dan Pas adalah di pihak pembangkang. Oleh itu, sebagai pembangkang sudah tentu ada perkara yang menjadi matlamat bersama kerana melalui kerjasama atau persefahaman, boleh mencapai matlamat dikehendaki. Hari ini, kita bukan ada satu pakatan dengan Pas yang mengikat, yang ada hanya persefahaman dan tidak boleh dielak kerana kita sama-sama di blok pembangkang.

Bagaimana dengan transformasi UMNO dan adakah dapat dijalankan dengan lancar ke­rana ada sahaja desakan tidak puas hati kedengaran kepada Presiden serta kepemimpinan UMNO?

Saya ingat kita melalui beberapa perkara, Datuk Seri Najib letak jawatan dan UMNO kemudian memilih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan selepas itu kita melalui beberapa pilihan raya kecil. Dalam tempoh itu tidak bermakna UMNO tidak memberi tumpuan terhadap soal bagaimana hendak memperkuatkan kedudukan parti, kita percaya setiap bahagian, cawangan sehingga ke akar umbi semuanya bergerak.

Tetapi sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan proses itu cepat, drastik atau perkara yang ternampak secara zahir, lebih-lebih lagi yang melibatkan strategi. Sebagai sebuah parti politik banyak perkara yang kita perlukan untuk kita bangun, bangkit dengan kuat, kita perlu jentera, dana, strategi serta hala tuju dan persefahaman dengan Pas, bolehlah dianggap sebagai satu strategi yang sedikit seba­nyak dapat membantu kita melemahkan kerajaan sedia ada atau parti lawan.

Dan paling penting, saya ingat kita beri masa kepada Datuk Seri Zahid. Perhimpunan kali ini peluang pertama beliau sebagai Presiden untuk berjumpa de­ngan kepemimpinan tertinggi setiap bahagian negeri, iaitu beliau berpeluang menyampaikan ucapan serta amanat pertama sebagai Presiden UMNO. Jadi, kita berharap setiap yang hadir dapat menghayati amanat dan dari situ kita bersama-sama mengorak langkah memastikan saranan serta seruan beliau itu dijayakan.

Transformasi itu dilihat berlaku agak perlahan, adakah kerana tekanan oleh kerajaan sedia ada. Dan sebagai Naib Presiden UMNO, adakah Datuk Seri yakin dengan pelan transformasi itu. Pesanan Datuk Seri kepada perwakilan?

Memang ada juga tekanan terhadap pemimpin-pemimpin tertentu tetapi pada masa sama, fokus kita kepada memperkukuhkan parti dengan me­lakukan perubahan dan transformasi itu masih kita lakukan. Sebagai Naib Presiden, saya juga bertanggungjawab untuk menyumbang bagi memastikan ada perkara tertentu yang perlu saya jayakan. Jadi, saya akan lakukan bahagian saya.

Kepada perwakilan yang akan menghadiri perhimpunan agung itu nanti, marilah kita sama-sama menunjukkan perpaduan yang tinggi antara kita, tunjukkanlah komitmen ma­sing-masing untuk membawa perubahan dalam parti, kita masih berada dalam UMNO, maka sudah tentu kita perlu berjuang habis-habisan untuk parti kekal relevan menjadi wadah orang Melayu tanpa mengetepikan kaum lain.