Malang buat aktivis dan bekas guru berkenaan apabila beliau telah dilucutkan kerak­yatan atas tuduhan menimbulkan fitnah kepada dasar pendidikan negara sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum. Bagaimanapun, Dong Jiao Zong terus mengorak langkah untuk memartabatkan pendidikan kaum Cina dengan melakukan pelbagai transformasi sehinggalah ke tahap memperkenalkan UEC.

Begitupun, usaha untuk mengiktiraf UEC sukar dilakukan memandangkan Tokoh­ Pendi­­­­­­­­dikan, Datuk Seri Aminuddin Baki telah ‘me­ngunci’ sebarang cubaan untuk mengetepikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar di sekolah oleh mana-mana pihak dengan lebih awal. Sepanjang November 1962, Utusan banyak mela­porkan berita me­ngenai usaha itu.

Antara laporan terbaik Utusan dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah pada 1 November 1962 bertajuk Penyata Aminuddin Baki. Dalam laporan tersebut, 13 syor telah disenaraikan bagi meningkatkan mutu dan nilai semua sekolah kebangsaan.

Antara syor yang disenaraikan adalah memastikan peluang pekerjaan diberikan kepada mereka yang berkelulusan dalam bahasa kebangsaan diperluaskan meliputi semua lapangan dan me­nyiasat punca kurangnya jumlah murid-murid masuk ke sekolah menengah.

Selain itu, Aminuddin yang juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Pelajaran kemudian menjadi individu penting dalam meningkatkan mutu pendidikan negara dengan menyusun Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan Laporan Abdul Rahman Talib 1960.

Beliau adalah individu termuda pernah dilantik menjawat jawatan Ketua Penasihat Pendidikan (kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran) bermula dari 1961 hingga 1965. Banyak sumbangan yang telah diberikan Aminuddin khusus­nya dalam melaksanakan segala objektif yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1961.

Visi Aminuddin untuk memartabatkan Dasar Pendi­dikan Kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar cukup jelas sehingga menutup ruang bagi pejuang UEC menuntut pengiktirafan. Matlamatnya juga lebih besar iaitu menyatupadukan semua kaum dalam negara menerusi satu sistem pendidikan kebangsaan sahaja.

KERATAN akhbar Utusan Melayu bertarikh 20 Mei 1956 bertajuk Penerimaan Penyata Pelajaran.
KERATAN akhbar Utusan Melayu bertarikh 20 Mei 1956 bertajuk Penerimaan Penyata Pelajaran.

Perjuangan menuntut pengiktirafan UEC ini bukan sahaja tidak dipersetujui tokoh-tokoh pendidikan Melayu, malah Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin turut bersependapat untuk menolak pengiktirafan sistem peperiksaan berkenaan. Ke­dua-dua tokoh ini juga pernah dicemuh oleh sebilangan kecil penyokong UEC kerana tidak memihak kepada tuntutan pengiktirafan itu.

Cheng Lock yang merupakan pengasas MCA adalah antara tokoh yang mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi. Beliau sentiasa meletakkan kepentingan perpaduan antara kaum sebagai perkara utama berbanding sesetengah pihak yang cende­rung untuk mengasingkan diri dari dasar perpaduan yang ditetapkan kerajaan.

Walaupun ketika ini tuntutan pengiktirafan UEC semakin hangat, ia sama sekali bertentangan dengan Fasal 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Bahkan, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara bagi setiap pelajar.

Dilaporkan kononnya pejuang UEC tidak mahu tunduk kepada syarat Kementerian Pendidikan yang mereka yang mendudukinya mempunyai sekurang-kurangnya kredit dalam Bahasa Melayu. Ada yang mendakwa kredit Bahasa Melayu dalam UEC tidak mempu­nyai standard yang sama dengan Kementerian Pendidikan.

Namun, ketika ini UEC dilihat semakin diterima oleh kerajaan baharu seiring dengan semangat reformasi yang dibawa kepe­mimpinan Pakatan Harapan (PH). Usaha untuk membincangkan pengiktirafan ini turut dilakukan Kementerian Pendidikan menerusi penubuhan Pasukan Petugas Dasar UEC.

Mungkin masih ada sinar buat pejuang UEC melihat impian mereka tercapai. Apapun, kerajaan perlu terus memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa pengantar dalam dasar pendidikan selain komited untuk mewujudkan nilai kebangsaan dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi menerusi satu sistem pendidikan.