Di media sosial, rancak dan hangat dengan pelbagai ramalan dan hipotesis kenapa Puteri Reformasi itu bertindak demikian dan tidak terkecuali analisis ke mana Nurul Izzah selepas ini.

Membaca komen-komen netizen ada kalanya mampu menukar topik serius yang cukup berat kepada lebih santai, sekali gus menambahkan keghairahan kepada berita yang mengejutkan ramai itu.

Nak pula yang berkaitan respons Nurul Izzah kepada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Rais Hussin.

Walaupun Bersatu adalah sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), namun komen balas Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada pandangan Dr. Rais dilihat padat dan padu walaupun masih secara sopan.

Ini berbeza apabila beliau respons kepada tweet bekas Ketua Pemuda UMNO itu. Tergambar satu situasi lebih mesra antara dua pemimpin itu yang saling memuji walaupun mereka daripada parti pesaing.

Ekoran itu, Khairy turut menerima tempias apabila ada yang sinikal kata boleh pula buat karangan indah pada Nurul Izzah tetapi tidak terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Apa pun, Nurul Izzah kelihatan tenang walaupun tindakannya melepaskan jawatan Naib Presiden PKR mengundang bermacam reaksi. Lebih serius, berita peletakan jawatan beliau memang memberi kesan kepada PKR dan PH yang jika bursa saham, akan mengundang reaksi negatif pasaran.

Namun dalam politik pastinya semua telah disusun rapi seperti satu pelan, hanya tunggu untuk digerakkan. Setelah berkocak, mungkin beliau akan menarik balik keputusannya seperti diramal atau pun mungkin tidak.

Semuanya pasti bukan berlaku dengan sendirinya. Bak kata Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, ‘mari kita lihat siapa yang kena’.

Paling menarik, komen balas Nurul Izzah di Twitter pada tweet bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli:

“Walau saudara tidak berjaya dalam pemilihan parti, saudara telah berjaya meyakinkan saya bahawa pilihan terbaik adalah mendukung saudara selaku calon Timbalan. Semoga Allah lindungi idealisme perjuangan kita bersama. Mara terus.” - UTUSAN ONLINE