MOHAMED NAZRI AZIZ

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tiada guna rundingan tersebut dijalankan ketika ini sekiranya selepas pemilihan itu MCA membuat keputusan untuk keluar daripada BN.

“Perbincangan dengan MCA kita tunggu selepas pemilihan mereka kerana kalau kita bincang sekarang pun kalau Gan Ping Sieu (calon Presiden MCA) menang dia dah cakap nak keluar daripada BN.

“Wee Ka Siong pula dia nak serahkan keputusan kepada perwakilan, jadi kalau kita sibuk bercakap tentang BN dan MCA sekarang, keputusan lain nanti, tiada guna,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mencadangkan supaya BN dijenamakan semula menjadi sebuah entiti baharu gabungan pembangkang supaya sistem dua parti dapat diwujudkan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid telah memberi mandat kepada Mohamed Nazri untuk berunding dengan parti-parti teras BN seperti MCA dan MIC selain parti pembangkang lain termasuk Pas bagi melaksanakan hasrat tersebut.

Sementara itu, jelas Mohamed Nazri, bagi tujuan itu juga, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan menunggu masa sesuai untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Mohamed Nazri yang merupakan bekas Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO turut meminta sayap pemuda parti itu mencontohi sikap parti-parti pembangkang dahulu yang tetap setiap bersama kepemimpinan mereka walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah.

Ketua Pergerakan Pemu­da UMNO, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki dilaporkan terus mengulangi pen­dirian agar Ahmad Zahid berehat daripada jawatan Presiden.