Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat sijil pendaftaran untuk pertubuhan berkenaan.

"Kami belum terima sijil tersebut. Apabila dihubungi, saya kata tunggu kenyataan rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

"Berkaitan pendaftaran Pakatan Harapan, kami difahamkan yang kenyataan rasmi tentangnya akan dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri esok," katanya menerusi laman Twitter miliknya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sijil pendaftaran Pakatan Harapan yang diluluskan sebagai pertubuhan oleh ROS telah tular dalam media sosial.

Pakatan Harapan terdiri daripada gabungan PPBM, PKR, DAP dan PAN.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, gabungan berkenaan secara bersama telah menggunakan logo PKR memandangkan pendaftaran Pakatan Harapan masih belum diluluskan ROS. - UTUSAN ONLINE