Menurut Ahli Dewan Muda Johor (DMJ), Darren Lai Chai En, sifat tidak hormat kepada demokrasi Dr. Mahathir itu juga dapat dilihat apabila tidak membenarkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuat pilihan Menteri Besar sedangkan kuasa memilih itu adalah kuasa mutlak baginda.

“DMJ bersetuju bahawa Malaysia adalah negara demokrasi tetapi kadang-kadang sikap Dr. Mahathir sendiri tidak melambangkan sifat demokrasi.

“Jika menggunakan perkataan memilih, maka pilihan mestilah lebih daripada satu kerana dengan hanya memberi satu pilihan ia adalah sikap diktator sekali gus kalau boleh kita mahu elak daripada mempunyai sikap tersebut dalam era Malaysia Baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, kata Darren, DMJ menyokong tindakan Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad yang turut turut menyuarakan pendapat dalam isu tersebut apabila mencadangkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Menteri Besar baharu.

Tambah Darren, Hasni berhak bersuara dan memainkan peranannya sebagai Ketua Pembangkang dengan lebih efektif.

“Sebagai Ketua Pembangkang, DMJ percaya, Hasni mempunyai kapasiti untuk menyuarakan pendapat serta pandangan beliau dan pada masa sama memainkan peranan untuk semak dan imbang kepada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE