Beliau berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad harus diberikan peluang untuk menerajui kepimpinan serta meneruskan pentadbiran negara sehingga tamat penggal ini.

Katanya, walaupun Pas tidak sehaluan dengan Mahathir, namun langkah tersebut bukan pendekatan yang sepatutnya digunakan dalam melaksanakan peralihan kuasa.

"Saya lebih suka Perdana Menteri sekarang menjalankan tugas selagi mampu untuk buat pembetulan kerana beliau ada banyak pengalaman.

"Walaupun tidak sebati (sama haluan) dengan beliau tetapi berilah tempoh yang cukup kepada beliau, jangan berhenti di pertengahan jalan bagilah tempoh cukup dulu, takkan beberapa bulan (tadbir) dah nak turun dan ini tidak mengikut moral politik yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Konvokesyen Kolej Islam Darul Umum kali ke-14, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau berkata, pihaknya mengakui tidak boleh mengharapkan undi ahli Pas semata-mata.

"Pada saat ini, penting bagi kita untuk mendapatkan undi daripada pihak lain yang juga mahu buat perubahan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE