Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri itu juga telah mengakibatkan sebanyak 106 orang rakyat negara ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang (Op Lalang).

Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr. Kua Kia Soong berkata, tindakan Dr. Mahathir menyertai Pakatan Harapan sebenarnya lebih kepada bermotifkan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta ingin menjatuhkannya.

Beliau yang pernah dua kali ditahan di bawah ISA iaitu pada 1987 dan 1996 menyifatkan bahawa Dr. Mahathir tidak akan menyesali perbuatannya memanipulasikan ISA demi kepentingan peri­badinya.

“Pemimpin-pemim­pin Pakatan Harapan yang tidak mahu Dr. Mahathir membuat permohonan maaf terhadap kesalahannya yang menahan lebih 100 rakyat Malaysia yang tidak bersalah di bawah ISA pada Oktober 1987 sebenarnya tidak mengetahui akibat daripada tindakan mereka.

“Sekarang, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan untuk berundur berikutan tuduhan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, adakah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan akan memaafkannya sama seperti memaafkan Dr. Mahathir dalam isu 106 tahanan ISA dalam Operasi Lalang?

“Jika mereka berfikir Dr. Mahathir tidak perlu meminta maaf, kenapa Najib juga perlu berbuat demikian? Kenapa Najib perlu berundur jika dituduh rasuah, manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga tidak berundur atas pertuduhan yang sama,” kata Kia Soong dalam Forum Awam Sisi Cerita Saya Sempena Tiga Dekad Operasi Lalang di sini malam tadi.

Forum anjuran Suaram di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur itu turut disertai tiga individu yang juga bekas tahanan ISA iaitu Dr. Nasir Hashim, Irene Xavier dan Lim Chin Chin.