Terbaharu, seramai 12 ahli Pemuda PPBM Bahagian Pagoh, Pasir Gudang dan Johor Bahru mendesak Dr. Mahathir dan Muhyiddin menjawab isu sama yang dibangkitkan oleh ahli akar umbi di Kelantan, Selangor dan Kedah sebelum ini.

Wakilnya, Johari Sulaiman berkata, sebagai pelapis muda kepemimpinan PPBM, mereka mahu kedua-dua pemimpin kanan parti itu menjawab isu dibangkitkan kerana perkara tersebut menjadi satu tanda ta­nya kepada ahli di peringkat akar umbi.

“Isu kekayaan luar biasa ahli keluarga Dr. Mahathir sehingga kini masih belum terjawab, begitu juga isu Muhyiddin yang didakwa menjadi punca kes perceraian sepasang suami isteri.

“Apa yang kami mahukan adalah Dr. Mahathir dan Muh­yiddin bercakap dengan jujur atas segala tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dan sekiranya perkara itu adalah fitnah, saman mereka yang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Johari berkata, kepemimpinan di peringkat bawahan sukar memberi penjelasan kepada ahli-ahli akar umbi apabila ditanya kesahihan dakwaan dan tuduhan itu.

Menurut beliau, kedua-dua isu tersebut sekiranya tidak di­se­lesaikan dengan segera akan menyukarkan tugas mereka ketika membantu kempen parti sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Apa yang kami hendak jawab jika pengundi bertanyakan ba­gaimana anak Dr. Mahathir bo­leh jadi antara orang terkaya di Malaysia? Betulkah Muhyiddin punca penceraian keluarga itu kerana nama Tan Sri disebut dalam mahkamah?”

“Apa yang kami hendak jawab? (Jadi) jawablah... bersihkan serta jaga pasti ini baik-baik sebelum kita kritik parti lain,” katanya.

Johari memberitahu, mereka juga bersedia menerima sebarang tindakan daripada kepe­mimpinan parti ekoran sidang akhbar yang diadakan hari ini.