Manifesto bagi tempoh 2018 hingga 2022 yang dilancarkan hari ini mengandungi dua teras dengan 18 kluster yang diberi tumpuan utama. Dua teras berkenaan ialah Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto yang dibentangkan itu menambah baik manifesto BN Pusat yang dilancarkan baru-baru ini serta kesinambungan dalam kejayaan menunaikan aku janji yang dibuat pada PRU-13 di negeri ini.

Ujarnya, seiring dengan tema ‘Bukti, Bukan Sekadar Janji’, ma­nifesto berkenaan adalah pra­ktikal dan mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan ekonomi ne­geri serta tidak meminggirkan ma­na-mana rakyat negeri ini.

“Kita perlu bangunkan negeri dan hasil yang kita dapat dipulangkan kepada rakyat supaya mereka hidup dengan sejahtera. Semua lapisan masyarakat dikenal pasti ada bahagian masing-masing dalam manifesto ini.

“(Contohnya) janji tidak ada kenaikan cukai tanah dan pintu individu untuk lima tahun akan memberi lebih manfaat kepada orang bandar berbanding di kampung. Ini menunjukkan bahawa BN bukan hanya beri tumpuan kepada mereka yang tinggal di kampung, sebaliknya semua pihak mendapat pembelaan,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto dan Portal BN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Hasan Malek; Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr. Lim Chin Fui; Pengerusi MIC negeri, Datuk L. Manickam; Pengerusi Gerakan negeri, Datuk David Choong Vee Hing dan kira-kira 5,000 ahli BN.

Antara intipati manifesto itu ialah BN negeri menjanjikan kemakmuran ekonomi dengan menyasarkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mewujudkan 1.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2045.

Kemudahan infrastruktur turut diberi perhatian dengan memastikan 100 peratus bekalan air terawat ke seluruh negeri, memastikan perhubungan jalan raya yang efisien dan selesa serta meningkatkan kadar penembusan internet dan menyediakan hab pengangkutan awam mini di kawasan strategik.

Dalam bidang pendidikan, sasaran utama adalah menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lem­bah Ilmu dan meneruskan pencapaian cemerlang sebagai tiga kelompok teratas dalam peperiksaan awam, mewujudkan Sekolah Magnet Luar Bandar iaitu Sekolah Berasrama Penuh versi Negeri Sembilan dan pemantapan sahsiah pelajar melalui Kelas Agama Petang.

Manifesto itu turut memberi penekanan kepada revolusi sektor pertanian yang memberi fokus kepada subsektor agromakanan antaranya menyasarkan pelepasan 2.5 juta benih ikan dan udang dalam tempoh lima tahun bagi menambah hasil tangkapan nelayan.

Manifesto itu turut mengutamakan aspek perpaduan bagi memastikan rakyat hidup aman makmur dan harmoni melalui penganjuran Minggu Perpa­duan peringkat negeri dan daerah se­tiap tahun dan Minggu Keharmonian setiap tahun.

Turut ditawarkan adalah jaminan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat menerusi Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang menyediakan 50 peratus kuota untuk bumiputera selain menaik taraf rumah pangsa kerajaan negeri jenis satu bilik kepada dua bilik.

Selain itu, manifesto tersebut turut memasukkan pelan jangka panjang ke arah menjadikan Ne­geri Sembilan Moden 2045 yang me­rangkumi Pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) dan Hala Tuju Luar Bandar Negeri Sembilan.

BN negeri turut memperkenalkan Skim Mensejahterakan Rak­yat melibatkan tambahan caruman RM50 bagi skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), sumbangan caruman insurans tabika kerajaan dan bantuan khas RM1,000 kepada anak Negeri Sembilan yang melanjutkan pe­ngajian peringkat sarjana di institusi pengajian tinggi manakala RM500 peringkat diploma.

Selain itu, menerusi skim ter­sebut turut dijanjikan kemudahan pocket WiFi bagi mahasiswa Negeri Sembilan, meneruskan pemberian lesen penjaja secara percuma; bantuan khas RM550 kepada pasangan pengantin baharu, cukai tanah dan pintu tidak dinaikkan dalam tempoh lima tahun dan rebat bil air bagi semua rumah ibadat berdaftar.