Exco kanan kerajaan negeri, Asmuni Awi berkata, berdasarkan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini semua exco sedia ada akan dikekalkan.

Malah Asmuni menyifatkan dakwaan portal berita Malaysiakini yang menyiarkan laporan dua exco akan digugurkan sama sekali tidak benar.

“Setakat perbincangan dengan Menteri Besar sebelum ini, semua exco kekal. Jadi semua cerita itu sekadar khabar angin.

“Memang ada pemberita menghubungi saya dan bertanya betul atau tidak kerana ada sumber memberitahu ada pertukaran exco. Sumber itu daripada seorang ADUN, jadi tanyalah ADUN itu mana dia dapat cerita?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Fajar Sejuta Pemuda di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini hari ini.

Asmuni mengulas dakwaan Malaysiakini semalam bahawa exco kerajaan negeri akan digugurkan iaitu Dr. Abdul Aziz Bari dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Menurut laporan itu lagi, kedua-dua mereka akan digantikan dengan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad.

Sementara itu, Abdul Yunus yang ditemui media ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama TNB baru-baru ini memberitahu beliau tidak menerima sebarang surat atau pemberitahuan mengenai pelantikan exco yang baharu.

Abdul Yunus menyerahkan sebarang keputusan sama ada dilantik semula atau digugurkan sebagai exco kepada Ahmad Faizal. - UTUSAN ONLINE