Bekas Ahli DAP, Tony Tan Chee Chong berkata, terbaharu, Kit Siang dikatakan telah berjaya menukarkan alamatnya ke Pulau Pinang bagi membolehkannya me­nghampiri cita-citanya itu.

“Jika tidak sebagai Perdana Menteri pun, Kit Siang perlu bertindak ‘me­rampas’ jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi menggantikan anaknya, Lim­ Guan Eng yang kini telah menjadi liabiliti kepada DAP dan kerajaan negeri.

“Dengan segala ma­cam masalah dan pel­bagai tuduhan serta kesilapan yang menghantui Guan Eng sebagai Ketua Menteri sekarang ini, Kit Siang sanggup mening­galkan Parlimen Ge­lang Patah, Johor dan bakal bertanding di Pulau Pinang, kubu kuat DAP untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas has­rat Kit Siang yang ingin menjadi Perdana Menteri dengan tidak pernah melepaskan ja­watan ter­tinggi dan kawalannya terhadap parti itu.

Beliau yang merupakan bekas pembantu peribadi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, Kit Siang tidak boleh menafikan mengenai hasratnya itu kerana segala tindak tanduknya kini jelas dan terang-terangan menunjukkan ke arah mendapatkan jawatan itu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, sememangnya ada fakta yang jelas menunjukkan Kit Siang mempunyai hasrat dan perancangan untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Walaupun hierarkinya berbeza sama ada Ketua Negara, Presiden atau Perdana Menteri, perkara ini ada disentuh sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu selaku Timbalan Presiden UMNO dalam Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda pada 1 Disember 2011.

“Iaitu pada poin yang ke-11, Muhyiddin berkata, tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan semakin jelas kelihatan.

“Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihan raya tanpa perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Apa maknanya ini? Makna­nya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa,” katanya.

Namun menurut Kamarul Zaman, apa yang lebih berkemungkinan untuk berlaku ialah Kit Siang dan DAP akan memastikan jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP menang dalam PRU-14, Perdana Menteri yang dipilih adalah yang boleh dijadikan kuda tunggangan DAP.

“Ini selaras dengan kedudukannya sebagai pemegang kerusi terbanyak antara semua parti politik dalam Pakatan Harapan,” katanya.