Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu berkata, pemimpin DAP memang penakut dan mereka selalu bersembunyi di belakang kaum Cina serta pada masa sama mereka akan memainkan api perkauman.

Sedang MCA, kata beliau, diwujudkan sebagai penghubung antara kaum demi mewujudkan keharmonian kaum Cina dengan Melayu dan kaum-kaum lain.

"DAP suka mengadu domba, DAP akan bersembunyi atau melarikan diri apabila masalah timbul berikutan politik toksik dan kotor yang dimainkan.

"Ini dapat dilihat apabila tercetus peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang berpunca daripada provokasi pemimpin DAP, tetapi apabila keadaan tidak terkawal mereka melarikan diri," katanya dalam wawancara segmen Sembang Online di Ibu Pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, kata Lian Ker, pemimpin MCA telah berdepan dengan kaum Melayu dan Cina hingga ke peringkat akar umbi bagi memadamkan api perkauman yang begitu marak.

Tambah beliau, ketika DAP memperlekeh serta mengejek MCA, pemimpin parti berkenaan memainkan peranan besar dengan membuka laluan kepada hubungan diplomatik dengan negara Cina walaupun mempunyai falsafah politik yang berbeza di antara demokratik dan komunis.

"Hari ini hubungan diplomatik memberi kesan yang sangat positif sehingga menyebabkan Cina lebih mesra dengan Malaysia berbanding negara jiran Singapura,"

jelas beliau.

Tambah beliau lagi, MCA sentiasa berperanan secara positif iaitu membuat tuntutan kepentingan kaum Cina secara halus dan bertolak-ansur serta menerima hakikat struktur kaum di negara ini.

DAP pula, katanya, sering bersikap `talam dua muka' apabila berhadapan dengan kaum Cina mereka berkata menggunakan Melayu untuk menghentam kaum Melayu dan apabila berdepan dengan orang Melayu mereka berselindung di sebalik slogan Malaysia untuk semua kaum. - UTUSAN ONLINE