Idris Ahmad

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, beliau percaya tuduhan itu tercetus berikutan dendam Dr. Mahathir kepada Pas sejak dahulu lagi.

“Dr. Mahathir memang berdendam dengan Pas kerana dia tidak boleh terima Islam yang hendak dibawa oleh Pas.

“Dulu dia kata Pas pemecah belah orang Melayu sewaktu dia bermaharajalela (menjadi Perdana Menteri) selama 22 tahun. Hakikatnya dialah bapa peme­cah belah masyarakat khususnya orang Melayu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily, hari ini.

Dr. Mahathir menerusi catatan di dalam blognya kelmarin me­nuduh Pas akan berperanan sebagai perosak dalam pilihan raya umum akan datang kerana terlalu taksub dengan permusuhannya terhadap PAN dan DAP.

Dr. Mahathir ber­ka­ta, Pas lebih rela kalah dalam pertandingan tiga penjuru berbanding mempertahankan orang Melayu, Islam atau negara ini.

Menurut Idris, selepas ini pasti ada lagi tuduhan yang akan dilemparkan oleh Dr. Mahathir terhadap Pas kerana dendam yang tiada kesudahan itu.

“Apa lagi Dr. Mahathir hendak tuduh Pas selepas ini? Semua orang tahu, Tun seorang yang pendendam, sukar untuk memaafkan.

“Jikalau dia sayang seseorang, maka janganlah pula ada orang pergi jumpa dia beritahu individu ini demikian, demikian.

“Dia tidak akan terima malah dia marah balik kepada pengadu. Kalau dia benci seseorang, sampai lubang cacing dia akan buru,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idris menjelaskan, Dr. Mahathir ketika berkuasa juga telah memecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, tetapi berlaku pada zaman dia. Sebelum ini, institusi kehakiman di negara ini cukup dihormati,” katanya.