Datuk Ir Hasni Mohammad.
Datuk Ir Hasni Mohammad.

Ini kerana, menurut Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad, penubuhan syarikat baharu akan melibatkan pelaburan yang lebih besar berbanding usaha meningkatkan penguasaan dalam syarikat air sedia ada supaya lebih kuasa bersuara.

Beliau berkata, kerajaan negeri BN telahpun ada perancangan untuk mengambil alih syarikat SAJ Ranhill, malah pernah ditawarkan pelbagai pihak untuk membantu bagi meningkatkan pegangan ekuiti dalam syarikat tersebut.

“Justeru, untuk diadakan syarikat kedua itu ia merupakan satu langkah yang bukan hanya merugikan syarikat sedia ada, malah akan membebankan kerajaan sehingga ke tahap boleh menggagalkan industri air di Johor,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas cadangan kerajaan negeri menubuhkan syarikat air baharu.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mencadangkan untuk menubuhkan syarikat air Johor baharu dalam usaha memastikan tarif air di negeri ini dapat dikawal.

Ditanya berapa kos yang diperlukan untuk menubuhkan syarikat air baharu itu, Hasni berkata, jika hasil dijadikan sandaran, maka usaha untuk mewujudkanya bukan satu yang menguntungkan sama ada dalam jangka pendek mahupun panjang.

“Kita ada lebih kurang 21,000 kilometer paip dan setiap kilometer paip hasil yang kita perolehi adalah jauh lebih rendah sekitar RM156 bagi satu kilometer berbanding dengan negeri seperti Pulau Pinang yang meraih hasil hampir RM500 bagi satu kilometer paip.

“Jadi, bersandarkan hasil itu, maka jelas usaha untuk mewujudkan syarikat air kedua ini sebagai satu yang tidak menguntungkan sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek,” katanya. - UTUSAN ONLINE