Saranan itu ditegaskan Wakil UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor susulan tindakan pembangkang yang dilihat yang sering kali mengulangi fitnah terhadap kerajaan dalam isu-isu tertentu meskipun tanpa bersandarkan fakta serta bukti-bukti yang kukuh.

"Mereka ini (pembangkang) tidak pernah mengambil sikap semak dan imbang. Maklumat yang separuh masak dijadikan berita sensasi dan sebarang penjelasan yang dibuat (oleh kerajaan) tidak lagi mereka peduli.

“Mereka mainkan persepsi dalam media tanpa adanya sekatan, ganyang tanpa menerima penjelasan. Pakatan pembangkang ini boleh dianggap sebagai pengganas persepsi dan mereka tiada simpati, tiada ihsan dan sentiasa menghina dan mengkeji.

“Pembangkang hanya tahu untuk menumbangkan kerajaan. Me­reka juga tahu bahawa untuk menumbangkan kerajaan, mereka perlu menumbangkan dahulu 'tiang seri’ parti daripada Presiden sehingga ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT),” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Mustafa, badan bertindak itu perlu dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya siasatan, tindakan serta pendakwaan terhadap kes-kes pengganas persepsi ini dapat dibuat dengan segera bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara dapat dipertahankan.

Selain penubuhan badan bertindak tersebut, Mustapha turut mencadangkan pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya hukuman yang berat dapat kenakan kepada mereka yang terlibat.

Sementara itu, Wakil Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, UMNO Sabah menyokong Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan disebabkan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan terhadap kemajuan di negeri tersebut.

Tegas beliau, sebaliknya ini disebabkan Najib merupakan Presiden yang dipilih secara demokrasi oleh semua ahli parti dan perlu ditaati.

“Presiden adalah ama­nah kita, mandat dan maruah setiap ahli UMNO. Kami di Sabah berpegang kepada prinsip syariah yang berdasarkan dalil al-Quran iaitu ‘hendaklah taat kepada pemimpin yang kamu pilih dalam kalangan kamu sendiri,” katanya.