Wakil Pergerakan Wanita, Sharifah Norhashimah Syed Kamaruddin berkata, majlis khas itu diharap dapat mencapai matlamat penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar di syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat tersenarai awam.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Ipoh Barat berkata, ketika ini penyertaan wanita di kedua-dua sektor itu masih rendah iaitu masing-masing 16 dan 10 peratus.

Kata beliau, majlis tersebut akan bertindak sebagai penghubung dengan komuniti-komuniti ekonomi wanita negara-negara Asean dan negara-negara Islam.

“Penubuhannya juga diharap dapat menggalakkan penglibatan wanita dalam pemilikan aset, ekuiti serta menyemarakkan budaya melabur dan menabung dalam kalangan wanita.

“Selain itu, ia akan membantu usahawan wanita menerokai bidang-bidang ekonomi baharu dan melahirkan generasi ekonomi wanita yang dinamik dan berdaya tahan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Menurut Sharifah Norhashimah, Pergerakan itu dukacita apabila tiada seorang pun wakil wanita dalam Jawatankuasa Khas Ekonomi Negara dan menggesa supaya kerajaan segera melantik wanita menganggotai jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata, ini bertujuan supaya suara wanita diambil kira dalam memberikan cadangan dan pandangan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi negara.

Kata beliau, Pergerakan itu juga mencadangkan supaya peranan wanita di peringkat bahagian dipertingkatkan dengan menjadi rakan strategik kepada kementerian-kementerian berkaitan bagi melaksanakan inisiatif dan program-program ekonomi rakyat selain lebih mendekati pengundi.

“Sebagai tindakan awal, kami mencadangkan supaya 50 peratus daripada dana program bantuan 1Azam diselaraskan oleh Pergerakan Wanita memandangkan lebih 70 peratus daripada penerima bantuan program ini merupakan golo­ngan wanita,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan mempercepatkan penubuhan bank khas wanita yang dicadangkan sebelum ini bagi mengatasi masalah usahawan wanita untuk mendapatkan modal pinjaman dari bank.

“Bank khas ini kelak hendaklah berlandaskan prinsip perbankan Islam bagi memberi sokongan dalam memajukan usahawan wa­nita. Kami yakin bank khas wanita ini akan menjadi pemangkin dan merancakkan ekonomi negara,” katanya.