Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sejak tiga tahun lalu, program itu berjaya melahirkan 1,425 usahawan dan menghasilkan 3,862 pekerjaan itu disifatkan amat bersesuaian dengan TN50.

“Nilai jualan mencecah RM38.6 juta dan disebabkan kejayaan tiga tahun berturut Tube (2014, 2015 dan 2016), kerajaan melalui SME Corp. melancarkan sasaran 1,000 usahawan bumiputera tahun ini berbanding 500 orang sebelumnya.

“Kita sediakan modul cukup baik dan Tube ini sesuai dengan TN50. Jadi, salah satu perkara pengisian praktikal kepada belia untuk TN50,” katanya kepada pemberita sejurus selesai menjadi tetamu Stesen Radio Terengganu FM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SME Corp. Terengganu, Muhammad Ibrahim dan Pengarah Penyiaran negeri, Nordin Sulaiman.

Ahmad berada di sini sempena lawatan kerja sehari beliau ke negeri ini bagi meninjau perkembangan usahawan dan juga perusahaan kecil dan sederhana termasuk di Setiu dan Besut.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan lanjutan tiga hari lagi tarikh tutup bagi permohonan menyertai Tube yang sepatutnya berakhir hari ini kepada 18 Jun atau Ahad ini.

Menurutnya, lanjutan tarikh itu dibuat untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan muda bumiputera dapat menyertai program berkenaan dalam usaha melahirkan golongan usahawan bumiputera berjaya.

Ahmad berkata, di segi trend permohonan dalam tiga tahun kebelakangan ini, pada 2015 mencatatkan 7,500 orang diikuti 4,500 orang tahun lalu manakala tahun ini seramai 7,200 orang dengan jumlah sasaran 10,000 pemohon.

Tambahnya, Sabah mencatatkan jumlah pemohon paling ramai disusuli Kelantan, Terengganu Johor dan Sarawak. - UTUSAN ONLINE