Timbalan Pengerusi BN itu berkata, situasi itu dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih apabila BN menang hasil sokongan pengundi muda.

Tsunami anak muda sedang menuju ke arah PH

MOHAMAD HASAN berkempen di Pusat Daerah Mengundi Kampung Bemban di Rembau malam tadi. - UTUSAN ONLINE/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ini menambah, selepas 10 bulan PH mentadbir negara, anak-anak muda menyedari bahawa mereka telah tertipu dengan janji dan fitnah yang direka bagi menjatuhkan BN.

“Yang paling cepat sedar mereka dibohongi adalah anak-anak muda. kalau dulu saluran yang amat ditakuti oleh BN dalam mana-mana PRK atau PRU adalah saluran pengundi muda iaitu saluran 4,5 dan 6, kalau tak ramai pengundi. Kalau besar jumlah pengundi, saluran 8,9,10 dan 11.

“Dulu kita takut saluran ini kerana biasanya mereka tidak undi BN, tetapi sekarang saluran ini yang beri kemenangan besar kepada kita.

“Ini jelas bahawa golongan muda yang membawa ombak baharu sehingga tenggelamkan kita pada PRU-14, hari ini tsunami itu berpusing ke arah PH dan PH kini berdepan tsunami yang mereka cipta sendiri,” katanya ketika berkempen di Kampung Bemban di sini malam tadi.

Mohamad berkata, ramai yang terpesona dengan janji-janji dibuat PH semasa PRU-14 antaranya untuk memansuhkan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bayaran tol, menurunkan harga minyak serta melupuskan pinjaman peneroka Felda.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN tidak akan tumbang di Negeri Sembilan dalam PRU-14 sekiranya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang turut melibatkan Pas.

Beliau berkata, sebagai contoh di kerusi DUN Labu, BN tewas dengan kira-kira 800 undi kepada PH ekoran calon Pas turut bertanding di kawasan yang sama.

“Sebab itu saya beritahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kita tak akan ke mana kalau terus berlawan. UMNO dan Pas adalah dua parti orang Melayu terbesar tapi sebab tak ada persefahaman dan tak bersatu, kita kalah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE