Peguam Negara, Tommy Thomas berkata,  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa enam ahli SPR itu harus disiasat dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dipecat menurut Perkara 114(3) dan 125(3) Perlembagaan Persekutuan atas syor tribunal itu.

"Pada 17 Oktober 2018, terdapat laporan bahawa kerajaan telah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal tersebut, namun pada hari berikutnya, lima Ahli SPR telah mengumumkan peletakan jawatan mereka manakala seorang ahli yang kekal turut meletak jawatan pada 27 November 2018. Kesemua peletakan jawatan ini berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

"Walaupun enam Ahli SPR telah meletakkan jawatan, tribunal mempunyai segala budi bicara berhubung semua perkara yang berkaitan dalam membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, menurut Tommy, lima hakim bersara yang pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menganggotai tribunal itu menurut Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mereka terdiri daripada Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong selaku Pengerusi dan dianggotai oleh Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham.

"Tribunal akan bersidang di Mahkamah Klang pada pukul 10 pagi 28 Januari ini untuk menimbang teliti hal perkara berhubung mandat daripada Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan enam anggota SPR (bekas) iaitu Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md. Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

"Peguam yang membantu Tribunal berhubung perkara ini ialah M. Puravalen dari Majlis Peguam Malaysia manakala Kogilambigai Muthusamy dan Ann Khong Hui Li dari Jabatan Peguam Negara dan Hui Li akan turut bertindak sebagai setiausaha kepada tribunal," katanya. - UTUSAN ONLINE