Sebaliknya, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin memberitahu, rakyat perlu berganding tangan dan memaut persefahaman untuk bersama-sama membantah keganasan tanpa mengambil kira motif dan latar belakang.

“Insiden tembakan rambang di dua buah masjid di Chirstchurch, New Zealand yang berlaku semalam wajar dikecam sekeras-kerasnya atas nama kemanusiaan.

“Jelas apa yang berlaku adalah satu bentuk tindakan yang psikotik yang dilakukan oleh manusia yang bertindak luar batas norma rasional yang akhirnya mengorbankan hampir 50 mangsa yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menyifatkan serangan tersebut atas nama keganasan agama wajar diketepikan sama sekali.

“Terorisme adalah jenayah universal yang tidak mengenal mangsa dan pemangsanya,” katanya.

Tambah Shamsul Iskandar, komitmen kerajaan New Zealand untuk meningkatkan keselamatan ke tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan semua masyarakat setempat adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan malah wajar menerima dorongan dari semua pihak. - UTUSAN ONLINE