KUALA LUMPUR 11 Dis. - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hanya akan memberi faedah berganda kepada negara sekiranya kerajaan berani melaksanakan apa yang telah Malaysia persetujui sewaktu proses perundingan.
Tanpa keberanian itu, TPPA hanya kelihatan baik pada teorinya sahaja jika kerajaan gagal mentafsirkan definisi ‘kawasan kelabu’ dalam perjanjian tersebut kepada pelaksanaan yang paling cenderung kepada negara dan bumiputera.
Wakil Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan sehubungan itu mengingatkan kerajaan agar jangan sesekali khuatir untuk melaksanakan dasar-dasar yang bakal memanfaatkan negara dan usahawan bumiputera sebaik sahaja TPPA berjalan.
“Kami Pemuda UMNO ingin tegaskan bahawa TPPA ini pada prinsip dan teorinya mungkin baik, tetapi pada realitinya hanya mampu jadi baik sekiranya kita berani melaksanakan apa yang telah kita capai sewaktu perundingan dilakukan.
“Dalam mentafsir perjanjian TPPA, ‘kawasan kelabu’ dalam teks TPPA, ambillah jalan yang paling cenderung Malaysia dan cenderung bumiputera. Usah takut, kalau syarikat luar nak saman kita pertahankan, biar tribunal jadi medan.
“Dalam mentafsir teks TPPA jangan kita ikut rentak definisi asing. Jangan sewaktu berunding kita mampu bangkit jadi wira tanpa kompromi tetapi sewaktu pelaksanaan kita jatuh dibuli,” katanya ketika membahaskan Usul Ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.