Dengan kekuatan hampir 500 pegawai dan anggota serta aset termasuk 19 lori, 17 van, tujuh kenderaan pacuan empat roda serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), misi bantuan itu akan dimulakan di Pulau Pinang dan Kedah hari ini sementara negeri-negeri lain diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kini merupakan masa untuk menterjemahkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membantu mangsa banjir atas asas kemanusiaan tinggi tanpa mengira parti politik mana yang memimpin negeri terjejas.

"Kita rasa keutamaan perlu diberikan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut melepaskan konvoi misi bantuan Kelab Bantuan Bencana 4x4 Rimau Akar Putrajaya yang disertai 40 ahli kelab dengan 15 kenderaan pacuan empat roda bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kedah.

Melalui misi tersebut, Rela menerima pelbagai sumbangan seperti barangan makanan keperluan asas, alat pembersih serta pemotong kayu yang berjumlah hampir RM90,000 bertujuan membantu proses pembersihan rumah. - UTUSAN ONLINE