Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM27 bilion dari Bajet 2018 untuk menampung beban penyakit NCD namun langkah pencegahan jangka panjang wajar dilakukan.

Ujarnya, peningkatan kos rawatan di hospital dan klinik swasta antaranya telah menyebabkan  rakyat beralih ke fasiliti kerajaan.

“Kerajaan boleh membina jumlah hospital yang lebih banyak dan meningkatkan jumlah fasiliti dan anggota kesihatan tetapi tanpa usaha membangunkan polisi ke arah persekitaran hidup sihat dan peranan aktif lain-lain kementerian dan agensi, adalah mustahil untuk mencegah penyakit NCD dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ke Arah Persekitaran Hidup Yang Sihat  (JKPHS) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE