Taklimat yang disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO), Prof. Dr Dinsuhaimi Sidek itu menjelaskan, peranan pertubuhan tersebut yang berjaya menghimpunkan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai langkah persediaan yang dilakukan.

Dinsuhaimi berkata, BBNGO memainkan peranan penting untuk memastikan setiap wakilnya memainkan peranan yang berbeza dalam menghadapi bencana banjir di negeri ini.

"Kita mempunyai seramai 500 ahli dari seluruh negara tanpa mengira perbezaan politik dan kelengkapan seperti 400 pacuan empat roda berjaya disediakan.

"Malah, ini juga merupakan usaha kita dalam membantu pihak kerajaan menghadapi musibah banjir yang berlaku setiap tahun di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan taklimat tersebut di Pusat Operasi Bencana, 12 Kompeni Medan Perubatan Askar Wataniah, Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pembangunan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan dan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa BBNGO, Dr. Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah ketika ditemui berkata, Sistem Radio Kecemasan (ERS) diyakini mampu memudahkan urusan komunikasi semasa bencana berlaku khususnya ketika musim banjir.

"Peralatan ERS dilancarkan sejak 2016 bagi membantu memudahkan pengu­rusan mobiliti pesakit terutama ketika jaringan komunikasi sedia ada terputus.

"Sebanyak tiga pemancar telah dipasang bagi mendapatkan frekuensi iaitu di Bangunan Hospital USM, Hospital Kuala Krai dan Hospital Gua Musang," jelasnya. -UTUSAN ONLINE