Jika dalam isu lain mulutnya ibarat 'bertih jagung' seperti ketika bercakap mengenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi dalam hal ini Tony memilih sikap mengalihkan isu kepada pihak lain.

Segala kejaguhannya sebagai ayam sabung DAP lenyap, malah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berada di sisi Tony juga tidak mampu membantu dan hanya menggelengkan kepala tanpa memberi sebarang jawapan konkrit.

"Kes terowong, Pulau Pinang akan jawab, kami bukan Ahli Parlimen Pulau Pinang, kami tidak mempunyai fakta di tangan," kata Tony yang meminggirkan Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto yang berada di belakangnya dalam rakaman video tular berkenaan.

Projek terowong dasar laut bernilai lebih RM6 bilion di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang merupakan projek yang cukup kontroversi dengan siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, bagi Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, pemimpin-pemimpin DAP terutamanya Tony menunjukkan sikap hipokrit pada darjat tertinggi dalam isu berkaitan skandal terowong berkenaan.

"Mereka ini hipokrit, hanya tahu fitnah dan cari salah orang lain, gajah di depan mereka pura-pura tidak nampak seperti skandal banglo dan skandal terowong," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE