ZAMBRI MOHD. ISA
ZAMBRI MOHD. ISA

Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa berkata, penganjuran Tuisyen Rakyat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukannya bertujuan untuk meningkatkan ku­a­liti pendidikan bahkan dijadikan platform untuk agenda parti politik pemimpin negeri itu.

“Kami (GPMS) menerima banyak aduan dan rungutan daripada anggota masyarakat tentang kebiadapan Lim Guan Eng dengan menghasut para pelajar untuk agenda politik­nya dalam pelancaran tuisyen tersebut baru-baru ini.

“Kami telah meneliti bukti-bukti yang disertakan dan secara jelas menunjukkan bahawa pemimpin itu memperalatkan pelajar dengan memburukkan dan menimbulkan kebencian terhadap polisi kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pelancaran Tui­syen Rakyat Pulau Pinang kelmarin telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Zambri berkata, Lim Guan Eng tidak sepatutnya menjadikan golongan pelajar sebagai pemuas nafsu politik beliau kerana pelajar terbabit sepatutnya bebas daripada pengaruh politik daripada mana-mana pihak.

“Kami melihat beliau semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat Pulau Pinang selepas terpalit dengan pelbagai skandal penyelewe­ngan dan rasuah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zambri memohon kepada pihak Kementerian Pendidikan, guru-guru dan ibu bapa supaya tidak terlibat dengan penganjuran Tuisyen Rakyat Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana dikhuatiri tuisyen itu memberikan impak yang tidak baik kepada para pelajar.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya ke atas Guan Eng yang menjadikan pelajar tuisyen ini sebagai tempat melampiaskan nafsu politik bukannya untuk menjadikan mereka sebagai insan yang lebih berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.