Justeru, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda di sini hari ini menyeru rakyat supaya menolak pembangkang kerana itu adalah nostalgia bersifat regresif iaitu menulis semula sejarah secara selektif.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, anak muda mu­ngkin ‘terlalu muda’ untuk me­ngingati betapa tidak seimba­ngnya pembangunan masa dahu­lu.

Tanpa menafikan Menara Berkembar Petronas merupakan legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu juga Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang, Khairy bagaima­napun berkata, kebanyakan fokus kemajuan tersebut hanya di Lembah Klang.

“Takkan kita cetek sangat, semata-mata ada KLCC, ada Putrajaya, ada Litar Sepang, kita terus anggap semua rakyat dari Perlis ke Johor, Perak ke Sabah, hidup sama rata?” soalnya.

Katanya, kepemimpinan hari ini sedang menangani ketidaksamarataan pembangunan semasa era pemerintahan terdahulu.

Menyentuh mengenai soko­ngan rakyat, sambil tidak menafikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga mempunyai cacat cela, beliau menggesa mereka menilai keseluruhan rekod pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Apabila itu dilakukan, mereka (rakyat) akan menyedari bahawa lebih banyak baik daripada buruknya. Janganlah biarkan satu, dua kekurangan mengaburi segala kejayaan yang telah dikecapi,” katanya.

Khairy seterusnya menyeru semua ahli pergerakan itu supaya menjadikan perhimpunan agung terakhir ini sebagai medan untuk membangkitkan keyakinan orang ramai bahawa UMNO adalah pilihan yang satu untuk menerajui serta mengemudi Malaysia dalam menghadapi apa jua cabaran melanda.

“Perjuangan kita tidak menjaja gula-gula, namun bertunjangkan kepada transformasi yang digarap untuk Malaysia.

“Maka, persoalan besar yang saya maksudkan itu adalah mengapa rakyat perlu mengundi kita, BN? Mengapa di kotak undi nanti, hanya dacing yang perlu dipangkah dan bukan yang lain.

“Bahawa nostalgia dongeng yang dilagukan di sana, bahawa harapan palsu yang digula-gulakan mereka, tiada bandingannya dengan keazaman dan transformasi sebenar yang kita bawa,” katanya.