Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ahli sama ada pemimpin atau akar umbi parti yang tidak setuju mereka dite­rima semula adalah lebih ramai berbanding kumpulan yang sanggup menerima bekas pe­mimpin itu.

“Bukan semua orang boleh masuk ikut suka, ini adalah perjuangan yang memerlukan pemimpin jujur dan setia kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pemimpin Masyarakat Orang Asli di Bukit Chekati, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Desas-desus sebelum ini mengatakan enam ahli Parlimen yang umum keluar UMNO pada 14 Disember tahun lalu membuat permohonan semula untuk menjadi ahli parti.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, ketiadaan enam ahli Parlimen itu dalam UMNO tidak memberi apa-apa kesan kerana akar umbi parti masih kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita akui kekalahan BN pada PRU lalu itu atas kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Walaupun Najib dah jatuh, tetapi semangat UMNO masih berkobar-kobar dalam kalangan rakyat dan ahli UMNO. Kita rasa ada harapan nak dapat balik kuasa memerintah,” katanya.