Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keputusan meletakkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai calon di Parlimen Teluk Intan sebagai taktik untuk memanipulasi pengundi di kawasan tersebut.

Menurutnya, ia juga menunjukkan pengundi di Taiping menolak Kor Ming sebagai ahli parlimen kawasan itu.

“Pengundi perlu kaji dahulu apa jasa dan rekod Kor Ming di Taiping, sepanjang lima tahun sebagai Ahli Parlimen Taiping kita perlu lihat sumbangannya di kawasan tersebut.

“Jika dahulu, dia berkempen di Taiping untuk menjadi wakil rakyat dan menabur pelbagai janji di situ kini dia mahu bertanding Teluk Intan pula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kampung Gajah di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Yusof Sidek dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis. - UTUSAN ONLINE