Tindakan terlalu bertolak ansur terhadap bangsa lain yang diamalkan kerajaan terdahulu yang kini diwarisi kerajaan sekarang menyebabkan hak keistimewaan orang Melayu semakin terhakis dan semakin berani dicabar.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali mendakwa, apa yang memeritkan kini adalah apabila tolak ansur berkenaan gagal membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

“Politik cari undi, politik nak menang, nak undi akhir sekali orang Melayu gadai maruah dan hak bangsa melalui peti undi.

“Bangsa lain mempertahankan maruah dan negara mereka dengan peluru, senapang dan senjata. Melalui peti undi kita jual maruah kita, hari ini bumi kita sudah dipijak orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa kali kesembilan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE