MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas berkata, perkembangan terkini yang menyaksikan kerjasama di antara Pas dan UMNO menjadikan beliau sebagai satu-satunya pembangkang dalam dewan tersebut.

Beliau berkata, sebagai satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH), beliau tidak boleh tergopoh gapah untuk memainkan peranan sebagai pembangkang tunggal kerana kerjasama di antara kedua parti terbabit masih tidak jelas.

“Ini kali pertama saya berada di dewan sebagai satu-satunya pembangkang selepas UMNO dan Pas yang telah menjalinkan kerjasama di Semenyih dan Cameron Highlands.

“Suasana dewan ada perubahan. Saya ambil pendekatan tunggu dan lihat. Saya tidak mahu tergopoh-gapah dan tergesa-gesa. Pada sidang berikutnya pada Jun atau Julai nanti baru saya akan ambil langkah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menukar Minyak Pelincir Motosikal peringkat Parlimen ini di R&R Jeli di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PH Jeli, Dr Aminuddin Yaacob.

Mesyuarat pertama Sidang DUN Kelantan akan bermula Isnin ini dan berakhir pada Rabu.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, beliau perlu lebih proaktif untuk membawa isu-isu rakyat memandangkan UMNO bukan lagi pembangkang.

“Saya memerlukan sokongan daripada rakan- rakan PH dari luar dewan untuk membawa isu-isu kepentingan rakyat.

“Ini kerana UMNO tidak lagi menjadi pembangkang dan sudah pasti senario akan berubah,” katanya. - UTUSAN ONLINE