Beliau berkata, rekod telah membuktikan bahawa peranan yang dimainkannya sepanjang menjadi wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Katanya, isu tersebut merupakan perkara lama yang dibangkitkan kembali.

“Sebagai contoh pada 19 Disember 2015, semasa Pasar Selising terbakar, esoknya saya melawat pasar itu dan menulis surat kepada kerajaan Pusat untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Kerajaan terdahulu meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta dan saya sendiri merasmikan pasar itu pada awal Januari tahun ini.

“Ini antara contoh bagaimana saya memainkan peranan membantu rakyat Kelantan dan sudah pasti bertanggungjawab bukan sahaja mencadangkan projek-projek tetapi memantau pembinaan Hospital Kuala Krai dan Bachok serta pembinaan lebuh raya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mustapa merupakan wakil tunggal Kerajaan Pakatan Harapan DUN Kelantan selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini minggu lalu.

Terdahulu ketika sesi soal jawab lisan dalam persidangan hari ini hangat seketika apabila Datuk Hassan Mohamood (Pas-Tawang) memerli tindakan Mustapa yang dikatakan bukan melakukan penghijrahan sebaliknya lari daripada perjuangan.

Malah, Hassan juga mempersoalkan sama ada Mustapa mampu menjadi ‘jambatan’ bagi menghubungkan negeri ini dengan kerajaan Persekutuan sebagaimana ketika beliau bersama BN dahulu. - UTUSAN ONLINE