MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED 

Ketua Penerangannya, Nurul Najihah Yasim berkata, pihaknya tidak dapat menerima apa jua alasan yang diberikan oleh Mustapa yang diangkat oleh ahli untuk memimpin parti itu di Kelantan.

Beliau turut mempersoalkan di mana semangat juang yang dilaungkan oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu kepada penyokong serta ahli parti itu.

“Saya dan pejuang Puteri UMNO Kelantan merasa amat kecewa atas lemahnya semangat pemimpin yang selama ini diangkat sebagai pejuang rakyat Kelantan dan pemimpin yang amat disegani oleh masyarakat di negeri Serambi Mekah ini.

“Justeru atas alasan apa pun, kami merasakan alasan-alasan yang diberikan oleh beliau tidak mampu di terima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Mustapa keluar UMNO malam tadi yang memberikan alasan bahawa hala tuju parti itu kini tidak selari dengan perjuangannya yang lebih inklusif melibatkan semua kaum dan bukannya untuk Melayu sahaja.

Nurul Najihah berkata, Puteri UMNO akan terus berjuang biarpun berapa ramai pemimpin yang akan meninggalkan parti tersebut.

“Apapun, walau mungkin lebih ramai pemimpin UMNO yang mahu pergi, kami sesekali tidak akan berganjak daripada perjuangan ini.

“Biarkan yang pergi terus pergi. Pegang erat ikatan kita dan mari kita terus berjuang dan semarakkan kebangkitan golongan muda untuk memastikan hak kita di bumi bertuah ini akan terus terpelihara,” katanya. - UTUSAN ONLINE