Katanya, ini berbeza dengan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang hanya datang menemui rakyat di kawasan itu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Sebab itu kepemimpinan PH ‘berkubang’ di Rantau pagi, petang, siang dan malam. Kereta polis bersimpang siur masuk ke sana ke mari, masuk kampung sampai hairan orang Rantau.

“Masa pilihan raya dia datanglah dekat tuan-tuan. Lepas pilihan raya dia tak kenal tuan. Akhirnya inilah Mat Hasan yang akan kenang tuan-tuan.

“Saya tak akan lari dari (calon Pakatan Harapan) Dr. S. Streram, buat apa saya lari. Kalau ada 20 Streram pun saya akan hadapi. Lepas 13 haribulan, orang lain balik, Streram entah lari ke mana tetapi saya tetap di sini,” katanya.

Tok Mat tetap berada di Rantau
MOHAMAD HASAN berucap dalam Ceramah Perdana di Taman Angsamas, Rantau di Rembau malam tadi. - UTUSAN ONLINE/Abd. Razak Aid

Mohamad berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana PRK DUN Rantau di Taman Angsamas di sini malam tadi.

PRK DUN Rantau esok menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamad, Streram dan dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kerajaan PH yang akan menyambut ulang tahun pertama pada bulan depan gagal melaksanakan dasar-dasar yang menggembirakan rakyat.

Ujarnya, rakyat kini mula gelisah kerana pelbagai janji tidak ditunaikan sebaliknya kerajaan membuat janji baharu selain tidak memberi keutamaan kepada perkara yang penting dan membawa manfaat kepada rakyat.

Katanya, dengan situasi ketika ini dan prestasi menteri-menteri Kabinet, beliau tidak terkejut sekiranya kerajaan PH hanya akan bertahan selama satu penggal. - UTUSAN ONLINE