Bagi isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, mereka sekeluarga menerima ketentuan itu dengan rela kerana memahami hati nurani Mohamad yang ingin bersama dengan rakyat terutamanya ketika kehadirannya amat diperlukan orang ramai.

“Baru-baru ini, anak ketiga kami melahirkan bayi dan keluarga telah mengadakan majlis tahnik. Namun suami tidak dapat hadir kerana komitmen terhadap rakyat.

“Anak-anak yang memanggil beliau ‘babah’ memahami hakikat bahawa ayah mereka tidak dapat hadir kerana menjalankan tugas untuk rakyat. Situasi seperti ini sering berlaku sejak dulu dan kami semua menerimanya dengan reda,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyertai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau melakukan walkabout sekitar pekan Rantau di sini hari ini.

Raja Salbiah memberitahu, beliau hanya membantu jentera pilihan raya BN bagi menyokong suaminya yang menyandang kerusi DUN itu dalam tiga pilihan raya umum lalu.

“Sebagai isteri, saya ada peranan untuk memberi sokongan kepada suami. Yang penting, saya dapat berjumpa dengan penduduk di sini untuk bersama-sama dengan mereka.

“Saya cuba menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya tidak melupakan jasa Tok Mat. Ini adalah masa untuk membalas budi baik beliau menjaga rakyat di sini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE