Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjelaskan, selepas hampir setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir, rakyat mula menyedari parti itu tidak boleh diletakkan harapan sebaliknya harapan itu kembali diletakkan kepada BN. 

Sehubungan itu katanya, memikul tanggungjawab sebagai Pemangku Pengerusi BN, kemenangan Mohamad sudah tentu memberikan petanda kepada kebangkitan rakyat yang jelas kecewa dengan kegagalan kerajaan pada hari ini. 

"Tok Mat adalah harapan rakyat, Tok Mat menang kebangkitan  rakyat dan kerajaan PH akan jadi kerajaan satu penggal, Pilihan Raya Umum Ke-15 kita pastikan BN rampas semula kerajaan Persekutuan dan Negeri Sembilan. 

"Beliau menjalankan tugas Presiden UMNO menang di Cameron Highlands, Semenyih dan akan melengkapkan hatrik di Rantau. Tok Mat telah berikan satu sentuhan ajaib kepada UMNO dan BN," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesra Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Sagga, Rantau di sini malam ini. 

Menurut Khairy lagi, PRK Rantau bukan hanya menjadi satu pilihan raya bagi memastikan kemenangan Mohamad tetapi juga boleh dilihat sebagai pilihan raya untuk mengenang jasa yang telah dicurahkan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu. 

"Tidak ada pemimpin lain yang mana namanya sinonim dengan kawasannya seperti mana Tok Mat. Bila kita sebut Rantau mesti orang akan ingat Tok Mat, bila kita cakap Tok Mat tiada tempat lain, mesti kita sebut Rantau. 

"Jadi sekiranya ada jasa daripada Tok Mat, inilah pula masa untuk kita berjasa semula kepada beliau  dengan penduduk Rantau mengundi dan memberi kemenangan besar kepada Tok Mat pada 13 April nanti," katanya.- UTUSAN ONLINE