Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau menjadi anak yatim semasa berada dalam darjah lima dan pernah berlapar kerana kemiskinan hidup.

“Sebab itu apabila menjadi menteri besar, dasar pertama diperkenalkan ialah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang membantu orang miskin. Pada awalnya sebanyak 5,000 orang miskin menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sepanjang 14 tahun pentadbiran, 33,000 orang telah dibantu.

“Saya tahu susahnya jadi anak yatim, makan sekali sehari. Saya tak mahu itu berlaku (kepada orang lain). Kemiskinan tidak mengenal warna kulit sama ada orang Melayu, Cina atau India dan perlu dibantu,” katanya.

Tok Mat dedah jadi anak yatim sejak darjah lima

CALON Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika hadir berkempen di Pusat Daerah Mengundi Kampung Sendayan di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan hari ini. - UTUSAN ONLINE/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

Beliau yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian ketika berucap semasa berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan di sini malam ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau didatangi warga emas miskin baru-baru ini yang mengadu bantuannya dipotong sejak empat hingga lima bulan lalu.

Tegasnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pentadbirannya telah meninggalkan rizab yang besar kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) iaitu lebih RM700 juta.

Mengulas kenyataan pemimpin PH yang mendakwa beliau gagal mentadbir negeri ini secara berkesan, Mohamad berkata, beliau percaya rakyat lebih mengetahui pembangunan yang telah dibawanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, keutamaannya kini adalah untuk memulihkan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan berusaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15. - UTUSAN ONLINE