Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau telah lama mengenali Timbalan Presiden UMNO itu dan secara peribadi menyokongnya dalam PRK pada 13 April depan.

“Beliau dikenali sebagai seorang yang berhemah, mempunyai watak Melayu sejati dalam dirinya. Beliau antara pemimpin UMNO yang banyak menyokong Perkasa sejak awal penubuhan pada 2008, terutama Perkasa Negeri Sembilan.

“PRK ini hanya kesinambungan kepada khidmat beliau. Kalau semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu berlaku pertandingan, saya yakin beliau menang. Beliau ada rekod yang baik dan merupakan anak tempatan.

“Bagaimanapun Perkasa belum lagi membincangkan sama ada menyokong sesiapa dalam PRK ini. Kita akan lihat dulu sikap pengundi Melayu di Rantau dan selepas itu baru kita akan tentukan sokongan,” katanya dalam Program Minum Petang Perkasa di Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban baru-baru yang membatalkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi itu dalam PRU-14.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah lawannya, Dr. S. Streram dari Pakatan Harapan dan perlu bekerja keras menarik undi bukan Melayu.

“Keadaan sudah berubah, dulu beliau calon parti kerajaan, sekarang parti pembangkang. Jauh bezanya. Beliau kena bergantung kepada hubungan dengan rakyat yang terjalin semasa tiga penggal menjadi wakil rakyat dan Menteri Besar,” katanya. - UTUSAN ONLINE