Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Pre­­­siden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga kunci kejayaan itu telah menjadi asas kekuatan parti sejak ditubuhkan sehingga membolehkan BN kekal berkuasa sehingga hari ini.

Katanya, UMNO telah berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang masa, justeru setiap pemimpin yang berdaya tahan, berdaya saing dan mempunyai daya juang akan dapat menghadapinya.

“UMNO sentiasa sediakan payung sebelum hujan, UMNO hadapi cabaran setiap ketika sama ada dari dalam atau luar parti, itu lumrah dalam politik.

“Pemimpin dan ahli parti mesti ada daya juang, daya tahan dan daya saing barulah menjadi perkasa. Biduk berlalu kiambang bertaut, inilah UMNO, kita tetap bersatu hati,” katanya ketika berucap me­rasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kimanis, Papar dan Beaufort di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya terdapat perbezaan pendapat, itu perlu diatasi dalam suasana harmoni dan bukannya bertindak keluar parti serta memburuk-burukkan parti yang sebelum ini diperjuangkan.

Menurut beliau, di Sabah ada pi­hak yang cuba mempengaruhi rak­yat untuk menolak BN, namun akan gagal kerana umpama fenomena Brexit atau Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) yang akhir­nya amat merugikan serta dikesali.

Tegas beliau, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah terjalin rapat sejak sekian lama, malah sekarang pelbagai pembangunan dan peruntukan disalurkan ke negeri ini demi kebajikan setiap rakyatnya.

“Sudah 26 tahun usia UMNO Sabah, kalau di sini batuk, Putrajaya akan demam. Kalau Putrajaya batuk, Sabah akan demam, ini ertinya kita saling memerlukan, walaupun Sabah adik bongsu tetapi sentiasa diutamakan.

“Kalau ada orang cuba bawa rakyat Sabah keluar dari gelanggang UMNO, mereka tersilap. Lihat apa berlaku di Britain, kerana mahu tukar citarasa, mahu tukar baju, tidak semudah itu, Sabah tidak mahu jadi Brexit Malaysia.

“Sabah tidak mahu BN dan UMNO kecundang, kita ada pengalaman di depan mata bagaimana menyesalnya masyarakat Britain,” katanya.