Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, perbuatan pemimpin DAP itu bukan sahaja menimbulkan suasana kecoh tetapi lebih dilihat sebagai usaha mencari publisiti murahan untuk kepentingan peri­badi sebagai ahli politik.

Malah, tegas beliau, perbuatan Teresa bersama penyokongnya juga telah menyinggung perasaan ke­dua-dua pihak keluarga pasangan pengantin tersebut kerana beliau ternyata gagal menghormati majlis orang lain.

“Saya amat kecewa dengan tindakan beliau. Sebagai seorang ahli Parlimen di kawasan itu, Teresa sepatutnya memikirkan apa yang wajar dilakukan pada ketika itu dan bukannya protes berkumpul sehingga mewujudkan rasa tidak selesa kepada tuan rumah dan te­tamu yang hadir dalam majlis kenduri kahwin tersebut.

“Adab perkahwinan sama sahaja, baik bagi kaum Melayu, Cina dan India. Takkan beliau tidak peka dengan semua isu ini. Saya harap rakyat di kawasan Seputeh menilai sikap sebenar ahli Parlimen itu yang berkelakuan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, sebuah majlis perkahwinan yang sedang berlangsung di Dewan Komuniti Seputeh tergendala seketika gara-gara Teresa mengadakan protes membantah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di kawasan berkenaan.

Perbuatan Teresa dan kumpulannya yang mengganggu kelancaran majlis perkahwinan itu dilaporkan menerusi laman blog KL Chronicle dan turut dikongsi pengguna-pengguna Facebook.

Melalui rakaman video yang tersebar di Facebook, berlaku pertelingkahan antara peserta perhimpunan anjuran Teresa dengan individu yang meminta agar majlis perkahwinan itu tidak diganggu.

Dalam pada itu, Mustapa Kamal turut mempertikaikan perbuatan Teresa yang membantah pembinaan Rumawip memandangkan projek perumahan rumah mampu milik itu hanya bertujuan untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri di ibu kota.

“Saya pelik dengan sikap ahli Parlimen ini. Apa salahnya kerajaan melaksanakan Rumawip? Mengapa beliau mahu membantah projek itu sedangkan ramai yang mahu membelinya? Tindakan Teresa bukan melihat keperluan masyarakat tetapi kepentingan peribadinya,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, Teresa harus meminta maaf kepada pasangan baharu berkahwin itu kerana bertindak mengabaikan pera­saan masyarakat tempatan.

Kata beliau, pemimpin DAP itu juga perlu belajar menghormati masyarakat berkenaan dengan menangguhkan atau mengubah lokasi protes.