Sebaliknya, menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan SPRM membekukan wang bernilai RM180 juta di dalam akaun bank itu adalah bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan dana kerajaan di negeri tersebut.

Beliau yang kecewa kerana peruntukan kerajaan Persekutuan itu gagal diterjemahkan untuk kepentingan rakyat berkata, dana tersebut sepatutnya digunakan bagi membiayai projek-projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terutama di pedalaman Sabah.

“Saya hargai apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sedia memberikan segala bukti dan dokumen kepada pihak berkuasa bagi melicinkan siasatan.

“Dalam hal ini saya yakin kita cukup telus dan bukannya berunsur politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyu­arat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan Ke-10 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ismail Sabri dan Timbalan Setiausaha Agong ASEAN (Komuniti Sosial dan Kebudayaan), Vongthep Arthakaivalvatee.

Sehingga semalam, SPRM telah menahan tiga individu termasuk Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan dana kerajaan bernilai RM180 juta itu.

Difahamkan, SPRM turut me­nyiasat akaun seorang bekas menteri berhubung kes tersebut.

Tambah Ahmad Zahid, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada SPRM untuk mengendalikan kes berkenaan kerana perkara itu melibatkan dana yang besar.

“Kita mahu pastikan adakah berlaku ketirisan disebabkan beberapa individu yang mempunyai agenda tersendiri, sehingga gagal menterjemahkan komitmen kerajaan Persekutuan ke kawasan-kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perhimpunan bagi membantah pesta arak di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor semalam yang diketuai Datuk Seri Jamal Md. Yunos tidak mempunyai kaitan dengan UMNO.

Katanya, meskipun Jamal merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, namun beliau juga merupakan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia dan perhimpunan yang diadakan tersebut adalah sebagai membantah cadangan penganjuran pesta arak di negeri Selangor.