Muslimin Yahaya
MUSLIMIN

Demikian ditegaskan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos selain menyifatkan tindakan Muslimin bukan satu teladan yang baik kerana ia didorong oleh kekecewaan hanya kerana tidak menjadi calon mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Agenda peribadi itu kata beliau jelas dilihat apabila Muslimin, 51, dilapor terus 'dikutip' oleh gabungan pembangkang untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar dalam PRU-14 bagi menggantikan Mohd. Asyraf Basri yang sebelum ini diumumkan sebagai calon PKR di kerusi berkenaan.

"Bagi saya, tidak ada yang rugi kepada BN ekoran tindakan Muslimin ini. Kita tidak mahu ada orang yang mengutamakan agenda peribadi melebihi daripada agenda rakyat berada dalam BN.

"Misi kita (BN) di Selangor ini jelas, kita mahu kembalikan kuasa pentadbiran negeri kepada parti serta membawa perubahan untuk rakyat, bukan untuk kepentingan mana-mana individu," katanya, di sini hari ini.

Tambah Jamal, beliau menganggap tindakan Muslimin itu tidak ubah seperti 'duri dalam daging' yang akan membawa mudarat kepada parti serta rakyat pada masa depan.

Sementara itu, Ketua PPBM Bahagian Sungai Besar, Hasnizam Adham hari ini mengesahkan penyertaan Muslimin ke dalam parti itu pada Rabu lalu sekaligus menerima watikah sebagai calon PKR.

Watikah itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang disampaikan oleh Pengerusi PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari di Shah Alam.

Muslimin dijangka akan berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Sungai Besar menentang penyandang kerusi itu, Budiman Mohd. Zohdi yang mewakili BN serta calon Pas, Muhammad Salleh Mohd. Hussein.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada Jun 2016, Budiman berjaya memperoleh 16,800 undi sekaligus menewaskan Azhar Abdul Shukur dan Dr. Abdul Rani Osman masing-masing daripada calon daripada PAN dan Pas dengan majoriti 9,191 undi. - UTUSAN ONLINE