Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, meskipun tindakan Abd. Muhaimin sesuatu yang tidak dijangka, mereka akur dengan keputusan yang dibuat termasuk beberapa bekas ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua kampung di kawasan tersebut.

Malah Sham berkata, tindakan itu secara tidak langsung dapat ‘menyucikan’ UMNO daripada ahli-ahlinya yang tiada pendirian.

“Biarkan mereka bertukar parti, itu hak mereka kita tidak boleh menghalang. Lagipun kita tidak mahu mereka ini sebelah kaki berada dalam UMNO manakala se­belah kaki lagi pula ke arah lain.

“Sehingga kini Barisan Nasional (BN) Bagan Serai masih mendapat sokongan padu 80 peratus rakyat di kawasan ini. Ia terbukti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) minggu lalu, kita bukan sahaja dapat mempertahankan Parlimen Bagan Serai serta Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Alor Pongsu, malah berjaya merampas DUN Selingsing daripada Pas, cuma DUN Semanggol sahaja gagal ke­rana kubu kuat Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Ulang Tahun UMNO Ke-72 di Dewan Zainal Abidin Zin dekat sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Tambah Sham, beliau sendiri turut mendapat tawaran daripada Pakatan Harapan untuk menyertai mereka, namun permintaan itu ditolak.

Kata beliau, ini kerana bagi­nya kepentingan BN dan UMNO serta rakyat paling diutamakan berbanding kepentingan peribadi lebih-lebih lagi pengundi telah memberi mandat dan kepercayaan kepadanya selama empat penggal.

“Jangan kita korbankan semua itu semata mata untuk imbuhan dan mendapatkan sesuatu jawatan sehingga sanggup melompat ke hadapan namun meninggalkan rakyat yang telah memberikan mandat, kita khianati mereka.

“Saya tetap bersama UMNO dan BN di Bagan Serai ini walaupun sepanjang jadi wakil rakyat, dua kali jadi pembangkang iaitu 2009 dan 2018,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi menafikan khabar angin beliau akan 'mengubah haluan'.

“Saya tidak akan beralih angin­ sebaliknya akan terus bersama UMNO dan BN. Banyak lagi masalah rakyat di Parlimen Bagan Serai untuk dibawa ke Parlimen. Kalau dulu atas tiket wakil rakyat kerajaan kini berubah kepada ­wakil rakyat pembangkang,” katanya.