Jalaluddin Alias
JALALUDDIN 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, langkah Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu tanpa sebab munasabah telah membazirkan wang.

"Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berulang kali menegaskan bahawa kerajaan tiada wang, tindakan meletakkan jawatan sehingga terpaksa diadakan PRK adalah sesuatu yang bertentangan.

"Rakyat kini dapat menilai dan melihat sendiri sejauh mana kejujuran kerajaan untuk membela nasib rakyat dan mengatasi masalah kewangan yang disebut-sebut sebagai meruncing," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Danyal Balagopal hari ini mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, perkembangan itu sudah pasti membuatkan pengundi di Port Dickson berasa tertipu memilih Danyal Balagopal sebagai wakil mereka pada PRU-14.

Beliau berkata, Anwar sebagai tonggak dalam PH sepatutnya tidak menyalahgunakan demokrasi untuk membolehkannya menjadi wakil di Parlimen.

Ujarnya, beliau seharusnya menunggu sehingga berlaku kekosongan yang tidak dapat dielakkan atau sehingga PRU-15.

"Lebih-lebih lagi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa kali menegaskan bahawa peralihan kuasa daripada beliau kepada Anwar tidak akan berlaku dalam waktu terdekat," katanya. - UTUSAN ONLINE